HARI ini Hari Raya. Hari kegembiraan bagi umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Pada hari yang istimewa ini, wajah keriangan dan kesyukuran jelas kelihatan di setiap wajah Muslim, lelaki dan wanita, tua mahupun muda.
Sambutan Aidilfitri di Singapura kali ini menjadi lebih istimewa apabila Singapura mula melangkah ke fasa endemik setelah lebih dua tahun bertungkus lumus melawan penularan wabak Covid-19. Sejak 6 April lalu, Singapura telah melonggarkan sekatan Covid-19 secara besar-besaran termasuk menarik balik had saiz kumpulan dan keperluan jarak selamat.