Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

2 SAHABAT, 1 MISI

Zizan Razak kerja keras untuk bukti pelawak serba boleh
Jun 20, 2023 | 04:09 PM



Bagaikan mimpi pelawak, pelakon dan pengacara Zizan Razak rasakan apabila berjaya dilibatkan dalam dua francais filem yang besar lagi menarik perhatian ramai, Polis Evo dan Abang Long Fadil.


Sekali gus, beliau bersyukur dapat membuktikan bahawa ada ruang dan peluang bagi bakat yang bermula sebagai pelawak keluar dari zon selesa dan stereotaip ramai bahawa ‘makanan’ mereka hanya dalam bidang komedi.

Ini dikongsi Zizan, 39 tahun, atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, kepada Berita Harian ketika ditemui di sidang media bagi promosi filem Polis Evo 3 di Hotel Royal Plaza On Scotts baru-baru ini.


Sidang itu diusahakan pihak pengurusan Cathay yang turut membawa Zizan dan rakan-rakan pelakon filem tersebut, Shaheizy Sam dan Sharnaaz Ahmad ke beberapa pawagam Cathay dan Wisma Geylang Serai (WGS).

Turut hadir adalah penerbit Joel Soh dan pengarah filem tersebut, Syafiq Yusof, yang teruja dengan pencapaian filem berkenaan yang sudah mencecah kutipan ‘box-office’ RM50 juta ($14.5 juta) bagi tayangan 24 hari di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kata Zizan yang merupakan naib johan Raja Lawak (Musim Pertama) dan johan Maharaja Lawak bersama Johan Raja Lawak:

“Saya sebenarnya menghargai rezeki Allah untuk saya ceburi bidang perfileman dan kemudian dilamar untuk projek aksi komedi yang cukup ‘gempak’ seperti francais filem Polis Evo dan Abang Long Fadil.


“Sekurang-kurangnya, dengan penglibatan saya ini, ia membuka minda dan mata orang bahawa pelawak bukan tertakluk pada genre atau babak komedi sahaja.

“Kalau diperlukan, kita boleh serius. Kita boleh juga mencuba bidang lain seperti pengacaraan untuk acara formal dan tidak dipandang rendah hanya kerana kita dikenali awal-awal sebagai seorang pelawak.”

Walaupun boleh disifatkan sebagai antara pelawak pengasas yang membuka jalan untuk pelawak lain menyertainya untuk tampil lebih menyerlah dengan bermacam kemahiran seni yang boleh ditonjolkan termasuk dalam bidang pengacaraan dan muzik, Zizan begitu merendah hati.

“Sepanjang 16 tahun terlibat aktif dalam dunia hiburan, saya tak naklah kata saya pembuka jalan untuk pelawak lain. Ketika itu, niat saya hanyalah nak buat apa yang orang lain boleh buat dan capai kejayaan dan kepuasan berkarya.

“Bagi saya, kalau individu lain boleh bikin perkara tu, saya pun boleh buat. Saya tak nak tetapkan minda saya terbatas pada melawak sahaja. Kalau saya tak mula gali dalam diri saya apa lagi kemahiran yang boleh saya ketengahkan, sampai bila saya akan dianggap hanya sebagai pelawak.

“Saya rasa semua orang berhak dilayan dengan baik termasuk pelawak. Siapa lagi yang boleh meletakkan diri kita pada tahap yang dihormati kecuali diri kita sendiri. Kita juga harus menghargai kebolehan kita sendiri.

“Kalau orang kata muka kita buruk, cuba ‘handsome’-kan diri kita. Kalau orang cakap lawak kita bodoh, bijakkan jenaka kita. Dalam mengacara, kita boleh pilih bagaimana kita nak mengacara. Dalam komedi juga, kita boleh bikin komedi ‘gelap’ atau mengikut kekuatan kita.

“Apabila kita berlakon, kita pastikan kalau ada babak lucu, kita ‘kelakar gila’. Kalau perlu serius, kita benar-benar serius. Kita ada pilihan berbuat demikian,” ujar Zizan.

Menurutnya lagi, kalau diri seseorang individu itu sudah meletakkan satu ukur tara dalam kerja seninya, orang dapat menerima.

“Saya masuk dalam industri hiburan pun bukan untuk naikkan nama saya tetapi saya nak industri hiburan kita jadi lebih baik. Saya ingin berikan yang terbaik agar orang terhibur dengan kerja seni saya.

“Saya sudah dibayar. Penonton bayar duit untuk tonton filem saya. Takkan beri ala kadar sahaja? Kutipan ‘box-office’ kita nak...pujian penonton yang keluar pawagam dengan hati senang pun kita nak.

“Maklumlah, kita dah penat bekerja. Teman-teman saya tinggalkan keluarga, anak dan isteri untuk cari rezeki bikin filem ini. Saya berdepan dengan macam-macam hal dan kadangkala penat. Justeru, apabila lihat penonton puas dan nak tonton lagi Polis Evo 3, nikmatnya cukup terasa,” jelasnya.


Yang menariknya, Zizan menganggap dirinya ibarat pelipur lara atau ‘joker’ (tukang lawak) dalam permainan kad yang berbakti kepada permaisuri dan raja.

“Orang dah beri kita kad. Gunakanlah sebaiknya selagi ada ruang dan masa,” tambahnya.

Dalam membina kerjaya seninya, Zizan turut menghargai rakan ‘sparring’ seperti Shaheizy Sam yang dianggap insan baik yang amat dihargai dan disayangi.

“Dunia persahabatan kami bukan sahaja dalam lingkungan Inspektor Khai dan Inspektor Sani. Ia persahabatan Shaheizy Sam dan Zizan Razak yang saling menghormati. Dari jadi sahabat sejak lapan tahun lalu, empat tahun lalu, kami jadi jiran pula.

“Bagi saya, Sam adalah sahabat yang budi baiknya tak terperi. Kalau ada apa-apa, kami boleh makan bersama, hubungi satu sama lain, dapatkan pandangan tentang bisnes dan sebagainya. Mak Sam pun akan hubungi saya. Saya dah jadi macam sebahagian keluarganya.

“Kalau dahulu, kami kenal satu sama-lain di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan masih gurau-gurau sebatas rakan satu industri dan masih malu-malu lagi, sekarang beliaulah sahabat dunia akhirat. Alhamdulillah, saya syukuri Allah datangkan Sam dalam hidup saya.

“Silaturahim inilah yang jelas nampak apabila kami dengan sendirinya serasi di layar perak,” ujar Zizan.

Apakah pula nilai yang boleh dicedok daripada Polis Evo 3?


“Kalau orang buat jahat dengan kita, kita tetap buat baik. Sebab dia akan lama-lama terikut dan rasa serba salah untuk buat jahat kepada kita.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >