Filem seram dengan sisipan unsur keagamaan 'Munafik 2' berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.05 juta ($681,053) pada hari pertama tayangan. Jumlah itu mengatasi kutipan filem komedi seram 'Hantu Kak Limah', yang mencecah RM650,000 sewaktu mula-mula ditayangkan. Hujung minggu lalu, penerbit 'Munafik 2', Datuk Yusof Haslam, dan pelakon utamanya, Maya Karin, menyertai penonton Singapura di empat pawagam Cathay. Ikuti wawancara wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) bersama mereka.
SEJAK Munafik 2 ditayangkan di pawagam minggu lalu, pelakon jelita Maya Karin akui payah melelapkan mata kerana sibuk melayan pesanan Twitter peminat.
Rata-rata, mereka memuji kehebatan jalan cerita filem itu yang mencetus saspens, kesedihan dan keinsafan sekali gus.
Ramai juga yang kagum dengan jiwa perkasa Sakinah, watak ibu tunggal yang dijayakan Maya dengan penuh berkesan.
Sakinah enggan kepercayaannya pada Tuhan yang satu digoyah pelampau agama dan penyihir seperti Abuja (lakonan Nasir Bilal Khan).
Kesyukuran begitu dirasakan Maya, 38 tahun, kerana berpeluang menjayakan filem ke-40 Skop Productions yang mencetus fenomena itu.
Beliau malah tidak berfikir dua kali ketika menerima tawaran menjayakan Munafik 2 meskipun skripnya belum disemak ketika itu.
Sebagaimana kongsi Maya dalam pertemuan di kafe Kaw Kaw SG, Aliwal Street, kelmarin:
"Saya terus bersyukur dengan pilihan tepat dan rezeki yang saya terima menerusi filem ini.
"Dah banyak kali Skop Productions menawarkan projek filem kepada saya. Saya takut pula jika sampai satu peringkat, Datuk Yusof dan anaknya Syamsul merasakan saya pula yang tak sudi menjayakan filem mereka.
"Sebenarnya, apabila ditawarkan filem Munafik yang pertama, saya masih menetap di London dan agak kelam-kabut jika mahu kembali ke Malaysia.
"Alhamdulillah, bagi filem kedua ini, saya sudah berada di Malaysia dan langsung menerimanya tanpa membaca skrip dan akui akan ada perubahan pada skrip tersebut menjelang hari penggambaran dibuat."
Maya, yang digelar Ratu Filem Seram Malaysia kerana kerap terlibat dalam filem hantu seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan Jwanita, berada di Singapura bagi menemui penonton Munafik 2 di empat pawagam Cathay hujung minggu lalu.
Beliau rasa Syamsul selaku pengarah dan penulis naskhah filem begitu bijak mencorak watak Sakinah yang boleh menjadi simbol pemerkasaan wanita.
"Saya baca pesanan Twitter penonton yang katakan, mereka suka dengan wanita kuat semangat secara fizikal dan mental seperti Sakinah.
"Orangnya yakin dan tenang. Saya terharu apabila membaca komen mereka yang datang ke pawagam hanya mahu menyaksikan saya menghidupkan watak wanita perkasa seperti Sakinah yang tak goyah dek gangguan atau ujian. Niat Sakinah hanyalah bagi melindungi ayah, anak dan kesucian agamanya," ujar Maya.
Selain perlu memastikan dirinya cergas bagi babak lasak terkejar ke sana ke mari, berlari di hutan, meloncat di batu-batan serta memanjat pokok, Maya harus tangkas menghadam skrip.
"Tiga minggu sebelum penggambaran, saya terima skrip tetapi ia kemudian ditarik balik kerana Syamsul dapat idea baru membabitkan watak saya dan Nasir.
"Risau benar apabila belum terima skrip bagi saya buat persiapan. Tiga hari sebelum penggambaran dibuat, barulah saya kelam kabut cari inspirasi secara terperinci bagi menghidupkan watak Sakinah," ujarnya.
Beliau menyifatkan Syamsul sebagai pengarah dengan otak bergeliga yang garang, tegas dan mahukan kesempurnaan dalam kerja seninya.
"Nak berlakon filem seram memang memenatkan sebab babak rasukan perlukan jeritan dan tangisan, malah memerah tenaga secara fizikal. Saya perlu menjerit sekuat hati.
"Syamsul pula garang, tegas dan teliti. Kadangkala terasa macam nak cekik-cekik diri sendiri apabila tak dapat sampaikan watak itu mengikut kemahuan Syamsul kerana dah terlalu penat.
"Sebagai contoh dalam babak rasukan. Dah 3 pagi. Saya terlalu penat. Syamsul nakkan luahan rasa Sakinah yang lebih daripada apa yang saya mampu berikan. Apa pun, beliau tetap genius dan saya hormati daya kreatifnya," ujar Maya.
Beliau, yang bakal menghasilkan album keempat hasil duet dengan penyanyi seperti Kaka, Aizat, Awi Rafael dan Yasin Sulaiman, juga membawa pulang ilmu agama daripada Munafik 2.
"Ia kisah perjuangan dan perkasa semangat. Saya kira Sakinah lambang wanita yang tidak mudah menyerah walau diduga dengan bermacam ujian," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg