SYARIKAT e-dagang Coupang, yang digelar 'Amazon Korea Selatan' sedang mencari eksekutif kanan di Singapura sebagai sebahagian usahanya di luar negara.

Laman LinkedIn syarikat tersebut menunjukkan pembukaan pekerjaan yang baru disenaraikan bagi jawatan ketua operasi, ketua runcit dan ketua logistik di Singapura.

Jawatan-jawatan itu juga diletakkan di laman Coupang Rocket Your Career, lapor The Straits Times.

Seorang jurucakap syarikat itu mengesahkan pembukaan jawatan yang dinyatakan namun tidak mahu memberi komen lanjut.

Minggu lalu, akhbar The Korea Economic Daily melaporkan bahawa Coupang, yang tersenarai dalam Bursa Saham New York (NYSE), akan berkembang secara global dengan memasuki pasaran Singapura.

Ini merupakan usaha pertama di luar negaranya dalam 11 tahun beroperasi.

"Sejak bulan lalu, syarikat itu telah mengambil kerja ratusan pekerja di Singapura dari peringkat bawah ke jawatan eksekutif di pelbagai fungsi termasuk logistik, pemasaran, penjualan, pembayaran, kecerdasan buatan dan sumber produk," kata akhbar tersebut.

Coupang berjaya mengumpul AS$4.6 bilion ($6.1 bilion) dalam tawaran awalnya pada Mac lalu di NYSE.

Pengasas Coupang, Kim Bom Suk berkata motif utama penyenaraian di Amerika Syarikat ialah untuk "bersaing dengan Amazon dan Alibaba".

Perkembangan terbaru itu bermakna Coupang akan menyertai syarikat-syarikat e-dagang lain di sini termasuk Shopee, Lazada, Amazon dan Qoo10.

Ia juga mungkin menjadi batu loncatan bagi firma itu untuk memasuki pasaran Asia Tenggara, tambah akhbar itu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti