Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Apple majikan terbaik di S’pura, disusuli Google

Apr 30, 2024 | 05:35 PM



Rasa tidak puas hati terhadap keseimbangan kerja-kehidupan menjadi sebab utama pekerja meninggalkan sesebuah majikan, manakala gaji kini menjadi faktor yang semakin penting bagi pekerja, menurut hasil satu tinjauan yang diterbitkan pada 30 April.

Syarikat teknologi Apple menduduki tempat pertama dalam senarai 250 Majikan Terbaik Singapura dalam kalangan syarikat dan institusi yang mempunyai sekurang-kurangnya 200 pekerja di sini, menurut tinjauan tersebut yang dikeluarkan oleh akhbar The Straits Times (ST) dan syarikat penyelidikan sedunia Statista.


Syarikat pencarian Internet, Google, merupakan majikan kedua terbaik, diikuti Asia Pacific Breweries Singapore (Heineken Asia Pacific), syarikat berbilang negara Jerman, Siemens, dan Motorola Solutions Singapore.

Lebih 14,000 pekerja daripada lebih 2,000 majikan dalam 27 sektor industri menyertai tinjauan dalam talian itu yang dijalankan pada September dan Oktober 2023.

Majikan diberi markah berdasarkan dua ciri, iaitu sama ada pekerja akan menyarankan majikan sendiri kepada orang lain, dan sama ada pekerja akan atau lebih suka menyarankan majikan lain dalam industri mereka, kepada orang lain.

Secara keseluruhan, markah tertinggi diraih oleh majikan daripada industri pakaian, bioteknologi dan makanan, lapor ST.


Syarikat yang menikmati peningkatan, terutama dari segi suasana kerja dan potensi perkembangan pekerja, lebih ketara dalam syarikat barangan pengguna yang bergerak pantas dan sektor pelancongan serta perkhidmatan.

Ini mungkin disebabkan pemulihan sektor tersebut secara umum: ekonomi perjalanan yang pulih semula ke paras sebelum pandemik, di samping permintaan dan bekalan barangan yang meningkat semula, kata ketua pasukan bagi analisis majikan di Statista R, Cik Jana Meusel.

Tinjauan tersebut mendapati bahawa pekerja yang lebih berpuas hati dengan keseimbangan kerja-kehidupan mereka, akan lebih bersedia menyarankan majikan mereka kepada orang lain.

Keseimbangan kerja-kehidupan kini semakin ditekankan. Antara sebabnya adalah keterhubungan digital yang kian meningkat, yang memudahkan masa peribadi pekerja diceroboh, kata pengarah urusan firma penasihat sumber manusia PeopleWorldwide Consulting, Dr David Leong.

“Akibatnya, kini semakin penting untuk menetapkan sempadan rasmi antara kehidupan peribadi dengan kehidupan profesional seseorang,” ujar beliau.

Pandemik Covid-19 juga menunjukkan pentingnya membuat penyesuaian, di samping mengekalkan pengeluaran dengan jadual kerja yang fleksibel, kata Dr Leong.

Justeru, pekerja didapati bekerja lebih keras untuk syarikat yang menghormati dan menggalak kerja-kehidupan yang seimbang dan sihat, berbanding pekerja di syarikat yang tidak berbuat demikian, tambahnya.

Tinjauan tersebut turut mendapati bahawa markah bagi imej syarikat meraih peningkatan tertinggi, yang diukur melalui ungkapan seperti “Saya bangga dengan produk / khidmat yang syarikat saya keluarkan / tawarkan”.

Secara keseluruhan, imej majikan mendapat markah terbaik daripada responden dari segi daya tarikan majikan, dengan syarikat daripada industri makanan dan hartanah menikmati markah tinggi.

Potensi pembangunan pekerja adalah antara aspek yang mendapat markah rendah berkaitan daya tarikan majikan.

Ini seiring dengan trend di seluruh dunia yang menunjukkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja dengan hal seperti program latihan di tapak kerja, kata Cik Meusel.

Tinjauan Masa Depan Pekerjaan 2023 oleh Forum Ekonomi Sedunia (WEF) menunjukkan bahawa usaha melabur dalam pembelajaran, dan latihan sambil bekerja adalah antara strategi utama syarikat bagi kakitangan mereka.

Dr Leong berkata markah lebih rendah bagi potensi pembangunan pekerja tidak semestinya merupakan satu trend, tetapi ia mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor yang muncul baru-baru ini.

Rasa tidak puas hati dengan latihan di tempat kerja mungkin disebabkan oleh perubahan di tempat kerja, seperti amalan bekerja dari jarak jauh yang semakin meluas, yang mungkin mengurangkan peluang latihan praktikal, jelas beliau.

Perniagaan perlu terus membuat penyesuaian untuk mengharungi kesan ekonomi yang tidak menentu, dan kemajuan teknologi yang pesat.

Ini mungkin mengakibatkan kurangnya latihan yang menyiapkan pekerja secukupnya bagi jawatan yang sentiasa berkembang, tambahnya.

Justeru, perniagaan kini perlu melabur lebih banyak lagi dalam program latihan menyeluruh dan boleh disesuaikan, bagi mengatasi jurang kemahiran ketika ini dan menjangka keperluan masa depan, kata Dr Leong.

Tinjauan itu turut mendapati bahawa gaji menjadi faktor yang semakin penting di seluruh dunia untuk meningkatkan kepuasan pekerja, menyusuli keadaan tidak menentu yang timbul daripada pandemik dan inflasi, kata Cik Meusel.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >