Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Prabowo-Gibran rasmi tandingi Pilihan Raya Presiden 2024

Daftar pencalonan sebagai pasangan calon presiden,
naib presiden
Oct 25, 2023 | 05:35 PM



JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto, yang juga pengerusi Parti Gerindra, sah masuk gelanggang Pilihan Raya Presiden 2024 negara itu apabila beliau mendaftarkan penyertaannya pada Rabu, hari terakhir untuk berbuat demikian.


Mayor Surakarta, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, dinamakan sebagai pasangannya bagi jawatan naib presiden.

“Jika dipilih, kita akan menjadikan Indonesia negara maju dan makmur,” kata Encik Prabowo selepas mendaftar pencalonannya di Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).

“Kami mahukan pilihan raya yang adil dan aman. Kami akan bersaing dengan menawarkan idea, visi dan program,” ujarnya.

Pengerusi KPU, Encik Hasyim Asy’ari, berkata Encik Prabowo, 72 tahun, dan Encik Gibran, 36 tahun, dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan wajib pada Khamis di Hospital Tentera Gatot Subroto di Jakarta.

Pasangan calon Gabungan Indonesia Maju (KIM) itu merupakan pakatan pilihan raya terbesar bagi pemilihan pada Februari 2024.

Mereka adalah pasangan calon terakhir, menjadikan tiga pasangan kesemuanya akan bertanding bagi menjadi presiden dan naib presiden baru Indonesia yang menyaksikan perlumbaan tiga penjuru.

Terdahulu pada Rabu, Encik Prabowo dan Encik Gibran bersalaman dengan penyokong di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno, tempat mereka melancarkan platform kempen mereka.

Perhimpunan itu turut dihadiri pengerusi sembilan parti yang membentuk KIM pimpinan Gerindra.

Turut kelihatan pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Negara, Encik Rosan Roeslani, dan Menteri Pelaburan, Encik Bahlil Lahadalia.

Encik Rosan akan berkhidmat sebagai pengurus kempen Prabowo-Gibran, walaupun masih tidak jelas sama ada Encik Bahlil akan mempunyai jawatan rasmi dalam pasukan kempen itu.

Encik Prabowo memberitahu penyokongnya bahawa beliau akan berusaha ke arah menghapuskan kemiskinan, kebuluran dan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Encik Gibran membuka ucapannya dengan memberitahu Encik Prabowo “jangan risau, saya di sini”, sebagai tanda menerima kenyataan bahawa perhimpunan itu adalah penampilan umum pertama mereka sebagai tiket presiden.

Mayor Surakarta itu berkata jika dipilih, pasangan itu akan menyediakan pinjaman untuk syarikat permula digital dan meneruskan cita-cita Encik Jokowi untuk membangunkan industri hiliran mineral dan ekonomi hijau.

Kedua-duanya kemudian menyertai perarakan bersama ribuan penyokong mereka dan menuju ke Taman Suropati di Jakarta Pusat, sebelum mendaftar pencalonan mereka di KPU.

Beratus-ratus ahli ProJo, iaitu kumpulan penyokong terbesar Encik Jokowi, jelas dikenali dalam perarakan itu daripada pakaian merah mereka.

Spekulasi mengenai kemungkinan pasangan Prabowo-Gibran bertanding telah lama bergelora, tetapi hanya menjadi kenyataan pada saat akhir berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan mengubah syarat umur bagi menyertai Pilihan Raya Presiden bagi membolehkan pegawai bawah umur 40 tahun bertanding.

Keputusan mahkamah itu dikecam secara meluas oleh pengkritik yang menuduh Encik Jokowi cuba membina sebuah dinasti politik.

Menurut tinjauan pendapat terkini, saingan terbesar pasangan Prabowo-Gibran ialah bekas gabenor, Encik Ganjar Pranowo, daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), kenderaan politik Encik Jokowi dan keluarganya selama dua dekad.

Encik Ganjar dan pasangannya, Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Encik Mahfud MD, mendaftar pencalonan mereka pada 19 Oktober, beberapa jam selepas mantan Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, dan pasangannya, Pengerusi Parti Kebangkitan Nasional (PKB), Encik Muhaimin Iskandar, mendaftar.

Encik Gibran dipilih sebagai Mayor Surakarta, jawatan yang pernah disandang bapanya, pada 2020 atas tiket PDI-P.

Eksekutif PDI-P menyatakan kecewa terhadap tindakan Encik Gibran itu, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan menghalangnya. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >