Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kes batuk kokol terkawal, tidak perlu takut ke Rompin

Pihak berkuasa kesihatan M’sia kesal mesej takutkan orang ramai tular
sehingga ke S’pura
Aug 22, 2023 | 03:19 PM



Wabak pertusis atau batuk kokol yang yang dikesan berlaku di Rompin, Pahang, sehingga tular ke Singapura adalah terkawal dan tiada kes baru dikesan ketika ini.

Beberapa warga Singapura menerima penularan maklumat di laman sosial dan WhatsApp berhubung wabak itu sehingga menimbulkan kebimbangan.

“Tak perlu bimbang. Situasi jangkitan pertusis atau batuk kokol di Kampung Bahagia terkawal.

“Jadi tidak sepatutnya timbul isu kata jangan datang ke Rompin, jangan datang ke Pahang kerana bahaya. Itu tidak benar sama sekali. Tak perlu takut jika mahu ke Rompin sekarang,” jelas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) pada Selasa mengenai mesej tular yang mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai di Malaysia dan pengunjung dari Singapura, susulan terdapat kes jangkitan batuk kokol di Kampung Bahagia, Rompin, Kuantan, Pahang pada Sabtu.


Mengesahkan lanjut, Datuk Dr Nor Azimi, berkata setakat ini hanya satu kes membabitkan sekeluarga iaitu seorang ibu serta dua anaknya yang dijangkiti penyakit itu dan keadaan adalah terkawal.

“Setakat ini pun tidak ada kes baru yang kami kesan. Hanya tiga kes itu saja dan kita sudah buat pemeriksaan serta pengesanan dari rumah ke rumah di kampung serta kawasan berhampiran untuk pantau sekiranya ada kes seumpamanya.

“JKNP juga sudah arahkan klinik-klinik swasta sekiranya ada pesakit pergi ke klinik mereka untuk dapatkan rawatan batuk kokol, mereka perlu maklumkan kepada kita.

“Tetapi setakat ini alhamdulillah tiada kes jangkitan baru yang dikesan melainkan kes melibatkan tiga beranak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada Selasa.


Menurut Datuk Dr Nor Azimi, JKNP juga telah memberi antibiotik profilaksis kepada 37 kontak rapat pesakit, selain mengedarkan risalah mengenai batuk kokol bagi memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai penyakit itu.

Di media sosial, tular surat makluman Pejabat Kesihatan Daerah Rompin mengenai wabak pertusis yang telah ditokok tambah dengan mesej: ‘Minta semua jangan pergi atau jumpa orang Pekan dan Rompin. Ada wabak yang lebih serius daripada Covid-19, terus sesak nafas. Minta semua pakai ‘mask’ (pelitup muka).”

Mesej itu telah mengundang kegusaran dan kebimbangan awam termasuk pelancong dan pengunjung dari Singapura yang merancang ke daerah Rompin.

Kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwaan palsu hingga mengganggu ketenteraman awam, Datuk Dr Nor Azimi memohon supaya pengguna media sosial berhenti menyebarkan mesej tidak berasas itu.

“Apa yang ditularkan sangat tidak bertanggungjawab. Keadaan tidak seburuk itu. Kes disebut sebagai wabak kerana mana-mana penyakit berjangkit yang melebihi dua kes dalam satu kawasan akan disebut sebagai wabak.

“Jadi JKNP menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan perkara yang tidak betul. Memang benar ada tiga jangkitan di kampung berkenaan, tetapi tidaklah berlaku sampai kita tak benarkan orang datang ke Rompin.

“Tiada masalah untuk sesiapa sama ada dari Malaysia atau negara luar untuk datang ke Rompin ketika ini. Masih selamat untuk dikunjungi, bukan seperti yang ditularkan,” katanya.

Menurut Datuk Dr Nor Azimi, batuk kokol bukanlah penyakit luar biasa dan boleh berlaku di mana-mana pada masa tertentu walaupun pemberian vaksin pencegahan telah diberikan.

“Kita tak boleh samakan batuk kokol dengan Covid-19. Kalau hendak kata bahaya, demam denggi juga bahaya dan boleh sebabkan kematian, penyakit batuk kering, malah kusta juga bahaya dan boleh sebabkan kecacatan,” katanya.

Memohon orang ramai mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk di tempat awam, Datuk Dr Nor Azimi berkata ia adalah langkah pencegahan paling penting bagi mengelak sebarang jangkitan.

“Untuk apa juga penyakit, adalah penting untuk kita mengamalkan kebersihan diri. Jika dahulu ketika Covid-19 kita boleh kerap cuci tangan, nak batuk dan bersin pun ada etika tutup mulut selain penggunaan pelitup muka, bolehlah terus diamalkan untuk kebaikan bersama.

“Bagi yang dijangkiti, elak ke tempat awam dan ramai orang. Amalkan etika batuk yang bersesuaian, jangan batuk di hadapan orang lain untuk elak jangkitan merebak,” katanya.

Pertusis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertusis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.

Ia boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima, dan 18 bulan serta kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >