Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bandar bijak baru Thailand dengan belanja $52 bilion

Hab perindustrian itu terima ikrar pelaburan syarikat automotif, robotik, jagaan kesihatan dan logistik global
Jul 18, 2022 | 05:30 AM



BANGKOK: Thailand merancang membina sebuah bandar bijak bernilai AS$37 bilion ($52 bilion) di hab perindustrian berhampiran Bangkok yang telah pun menerima ikrar pelaburan berbilion dolar daripada syarikat automotif, robotik, penjagaan kesihatan dan logistik global.



Satu pelan induk untuk membina bandar di daerah Huai Yai di wilayah Chonburi - kira-kira 160 kilometer ke tenggara Bangkok - telah diluluskan satu panel yang dipengerusikan Perdana Menteri, Encik Prayut Chan-o-cha, baru-baru ini.



Bandar yang belum dinamakan itu akan terletak di atas tanah seluas 2,340 hektar dan akan menelan belanja 1.34 trilion baht bagi tempoh 10 tahun akan datang, kata pegawai kerajaan.



Projek itu akan merangkumi lima pusat perniagaan untuk disewa syarikat sebagai kawasan komersial, kata Dr Kanit Sangsubhan, setiausaha agung projek Koridor Ekonomi Timur (EEC).



Ini termasuk hab untuk menempatkan ibu pejabat serantau firma, pusat kewangan, dan kawasan bagi perubatan moden, penyelidikan dan pembangunan antarabangsa, serta industri masa depan seperti tenaga bersih dan teknologi 5G, jelas beliau.



Selain itu, kawasan kediaman bandar baru itu juga akan direka bentuk untuk menampung 350,000 orang menjelang 2032, dan menjana 200,000 pekerjaan, kata Dr Kanit.



Penduduk akan kebanyakannya bekerja di kawasan perindustrian di bandar itu, yang dijangka menarik pelaburan kira-kira 2.2 trilion baht dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.



"Bandar baru ini akan sesuai untuk didiami generasi baru serta beroperasi sebagai pusat perniagaan," kata Dr Kanit.



"Kami mencipta projek baru ini untuk mengimbangi pendapatan Thailand yang hilang semasa wabak Covid-19."



Bandar baru dengan pusat perniagaannya itu dianggarkan boleh menambah 2 trilion baht kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Thailand dalam tempoh 10 tahun, dan nilai aset selepas tempoh konsesi 50 tahun akan menyaksikan lonjakan lima kali ganda, kata kerajaan negara itu dalam satu kenyataan.



Kerajaan Encik Prayut telah menguaruarkan projek EEC, sebuah projek pembangunan yang matlamatnya termasuk memajukan pembandaran, memacu industri maju dan menambah prasarana, untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang ketinggalan berbanding negara rantau sebelah sini seperti Indonesia dan Vietnam.



Projek tersebut merangkumi tiga wilayah yang secara sejarahnya telah menjadi hab perkilangan negara dan pada masa ini menyumbang sebanyak satu perlima ekonomi Thailand.



Pengeluarannya berkembang 6-7 peratus setiap tahun, lebih cepat daripada kawasan lain di negara itu, menurut pegawai kerajaan.



Sementara itu, dalam melengkapi projek EEC itu, Kabinet Thailand pada awal Jun lalu telah meluluskan bidaan AS$9 bilion oleh satu konsortium untuk membangunkan sebuah lapangan terbang di pantai tenggara negara itu, yang kerajaan harapkan akan berubah menjadi hab ekonomi dan teknologi.



Terletak berhampiran bandar peranginan Pattaya, lapangan terbang U Tapao merupakan salah satu pusat prasarana buat projek EEC, satu inisiatif bercita-cita tinggi dengan matlamat mahu menarik pelaburan daripada industri seperti pembuatan auto dan teknologi.



BTS Group Holdings, yang mengendalikan skitren (skytrain) Bangkok dan dimiliki jutawan Encik Keeree Kanjanapas, mengetuai konsortium syarikat yang diluluskan untuk membangunkan projek 'Bandar Lapangan Terbang Timur' itu.



Projek bernilai 290 bilion baht itu akan merangkumi terminal baru, pusat kargo udara, dan tapak pembaikan dan penyelenggaraan penerbangan, menurut satu dokumen rasmi EEC.



Digunakan sebelumnya sebagai lapangan terbang tentera laut, U Tapao yang bakal dibangunkan semula itu disebut-sebut oleh EEC sebagai berpotensi untuk diubah menjadi hab pelancongan, memandangkan ia berdekatan dengan Pattaya.



Namun, kegiatan di bandar pantai yang popular itu telah menjadi kelam - sama seperti kebanyakan kawasan Thailand lain yang banyak bergantung kepada pelancongan - ekoran wabak Covid-19 yang telah menjejas teruk pelancongan sejagat sekali gus melemahkan ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >