Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Hubung... dalam bahasa kehidupan

Sep 24, 2023 | 05:30 AM



Kata dasarnya berdiri dengan hanya enam huruf – hubung – tetapi ia amat penting dan berlaku di mana-mana, dalam pelbagai lapangan kehidupan, di semua peringkat.


Di peringkat negara, kunjung-mengunjung di kalangan para pemimpin adalah bagi menjalin, mengekalkan, merapatkan hubungan dua hala dan hubungan pelbagai hala dan semua ini ada pelbagai implikasi seperti ekonomi.


Banyak contoh hubungan politik dan antarabangsa yang berlaku baru-baru ini – seperti sidang puncak Kumpulan 20 (G20) di New Delhi; kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Russia bertemu Presiden Russia, Encik Vladimir Putin; kunjungan Perdana Menteri kita ke negara luar dan kunjungan pemimpin luar ke sini – semua berhubung soal hubungan; hubungan politik, hubungan diplomatik.


Terbaru, hubungan Amerika Syarikat dan Iran yang bermusuh sekian lama kelihatan beransur pulih dengan kededua negara bertukar tahanan – Iran membebaskan lima tahanan Amerika dan Amerika membebaskan lima tahanan Iran – di samping pemindahan dana Iran di Amerika berjumlah AS$6 bilion ($8.18 bilion).


Dalam kehidupan harian, hampir semua orang saling berhubungan setiap hari, sama ada secara bersua muka, menerusi telefon atau menerusi kiriman mesej, atau sekadar bertegur sama sapa dengan anggota keluarga, jiran tetangga, rakan sekolah, rakan sekerja.


Hubung tidak terbatas pada manusia sahaja.


Benda dan alat banyak yang menjadi penghubung dalam kehidupan – jambatan, titian, jalan, surat, kereta, kapal terbang, telefon, Internet dan banyak lagi mempunyai fungsi menghubungkan.


Bagi manusia pula, hubungan mencakupi pelbagai aspek kehidupan – agama, pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik, ekonomi, perdagangan, sosial dan banyak lagi adalah mengenai hubungan.


PELBAGAI MAKNA

Kamus menjelaskan pelbagai makna tentang hubung, sama ada kata dasar mahupun berimbuhan.


Antara makna utama hubung ialah komunikasi, jalinan, berangkai, bersambung. Bahasa adalah alat paling penting bagi manusia berhubung dengan manusia.


Berhubung boleh bermakna bersangkut paut, berkaitan, berkenaan atau mengenai: misalnya perbincangan berhubung bahasa, persidangan berhubung keamanan dunia, seminar berhubung kemajuan ekonomi, mesyuarat berhubung kelakonan syarikat dan sebagainya.


Berhubung juga bermakna kontek – kita sekarang mudah berhubung dengan kenalan jauh dan dekat, di dalam dan di luar negara, dengan Internet dan telefon bijak.


Menghubungi adalah perbuatan membuat hubungan yang dilakukan dengan pelbagai kaedah – melalui pertemuan, surat dan e-mel, whatsapp, telefon, atau bertemu.


Menghubungkan ialah menjalinkan atau menjadikan berhubungan – misalnya jambatan menghubungkan dua negara, orang tengah menghubungkan dua pihak yang bertelagah, perkahwinan menghubungkan keluarga, mesyuarat menghubungkan kepentingan bersama dan sebagainya.


Perhubungan antara lain bermakna pertalian. Misalnya, kelaziman kunjung mengunjung pada Hari Raya merapatkan perhubungan/pertalian dengan sanak saudara; Ramlah dan Aminah ada perhubungan/pertalian darah.


Hubung kait bermakna ada kaitan, misalnya kejayaan sesebuah negara ada hubung kait dengan kepimpinan dan hubungan baik dengan rakyat yang sedia memberi kerjasama memakmurkan negara; kematiannya pada usia muda ada hubung kait dengan tekanan perasaan selepas berpisah.


TATABAHASA

Satu daripada aspek dalam tatabahasa ialah kata hubung atau sendi kata yang berfungsi menghubungkan dua kalimat atau rangkai kata, misalnya kerana, supaya, yang dan sebagainya:


Misalnya, kata hubung ‘kerana’ menerangkan punca atau sebab berlakunya sesuatu keadaan. Misalnya mereka berjaya, jadi kaya dan hidup senang kerana mereka rajin berusaha.


Banyak lagi kata berfungsi sebagai kata hubung seperti mahupun, bukan sahaja, malah, sedangkan, inikan pula, namun, walaupun dan banyak lagi.


Misalnya, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri; Halim bukan sahaja baik dalam pelajaran, malah suka membantu.


Tanda sempang adalah tanda hubung – garis pendek melintang menceraikan suku kata.


BEBERAPA ISTILAH

Terdapat banyak istilah berhubung perkataan hubung bagi menggambarkan keadaan tertentu.


Keterhubungan, terjemahan daripada bahasa Inggeris connectivity, menggambarkan rangkaian hubungan.


Hubungan darah, hubungan keluarga/ kekeluargaan, hubungan adik-beradik menggambarkan pertalian persaudaraan.


Hubungan suami isteri, hubungan anak dan ibu bapa adalah mengenai hubungan dalam keluarga.


Hubungan jiran tetangga, hubungan dalam masyarakat menggambarkan hubungan sosial dalam masyarakat.


Hubungan agama, hubungan sesama Muslim, hubungan antara kaum, hubungan antara agama, hubungan sesama manusia adalah antara contoh hubungan manusia dengan manusia.


Hubungan politik, hubungan ekonomi, hubungan dua hala, hubungan pelbagai hala, hubungan serantau, hubungan antarabangsa, hubungan diplomasi/diplomatik adalah antara pelbagai jenis hubungan politik satu negara dengan yang lain.


Hubungan cinta, hubungan asmara antara contoh hubungan yang melibatkan perasaan kasih sayang.


Hubungan tiga pihak atau tripatite adalah hubungan antara tiga pihak seperti hubungan antara pemerintah, pekerja dan majikan/kesatuan.


Hubungan sulit adalah hubungan yang dilakukan secara rahsia.


Hubungan mesra, hubungan intim menggambarkan hubungan rapat yang ada kemesraan.


Hubungan dingin, hubungan hangat menggambarkan tahap hubungan.


Hubungan kelamin, hubungan seks, hubungan batin menggambarkan hubungan yang berunsur seks.


DARI SUDUT AGAMA

Islam menekan dua jenis hubungan yang amat penting dalam menjalani kehidupan sebagai Muslim.


Hablum minallah bermakna hubungan dengan Allah – antara hamba dengan Pencipta, merangkumi pelbagai aspek ubudiah, ketaatan, pengabdian hamba terhadap Tuhannya.


Satu lagi ialah hablum minannas iaitu hubungan sesama manusia, melibatkan pelbagai bentuk hubungan antara sesama Muslim, dengan bukan Muslim, antara keluarga, jiran tetangga, masyarakat, kaya dan miskin, hubungan ekonomi, sosial dan sebagainya.


Sehubungan dengan ini, Islam menekankan pentingnya menjaga silaturahim.


Soal hubungan juga diterangkan dalam beberapa bab keagamaan seperti hukum hakam berhubung pernikahan (wali), batal wuduk, pembahagian faraid, hubungan manusia dengan alam, dengan tumbuh-tumbuhan, dengan haiwan dan beberapa aspek hubungan yang lain.


KESIMPULAN

Di banyak negara, termasuk Singapura, soal hubungan amat penting sehingga ada penubuhan berkaitan hubungan.


Dalam pentadbiran negara, kita ada Kementerian Perhubungan dan Penerangan – antara lain berfungsi sebagai penguasa dalam aspek perhubungan dalam pemerintahan.


Di samping itu terdapat beberapa firma perunding cara yang khusus membantu syarikat dan pertubuhan dan mengatur syarikat dari segi hubungan dengan pelanggan, orang ramai, publisiti dan sebagainya.


Fungsi akhbar sendiri adalah berbentuk hubunganmenghubungkan pembaca dengan pelbagai pihak dan perkembangan di sekeliling, dalam pelbagai aspek kehidupan, di dalam dan luar negara.


Dan khusus bagi bagi masyarakat majmuk seperti Singapura – menjaga dan memupuk hubungan antara kaum dan hubungan antara agama amat penting bagi menjaga keharmonian yang menjadi.


Begitulah antara hebatnya perkataan hubung dalam bahasa kehidupan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >