Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Argentina rangkul liga SVNS lelaki buat kali pertama

May 06, 2024 | 01:20 PM



Perjalanan Argentina memburu piala kejuaraan liga ragbi tujuh sepasukan, HSBC SVNS, pertama mereka penuh dengan liku dan perjalanan panjang, kata kaptennya, Gaston Revol.

Malah, pemain berusia 37 tahun itu pernah berasa putus asa dan mahu sahaja menguburkan hasrat memburu impian dan bersara daripada pasukan tersebut. 

Di Stadium Negara pada 5 Mei, usaha gigih dan kesabaran Revol dan rakan sepasukannya selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil.

Pasukan Los Pumas Sevens mencipta sejarah apabila mereka dinobatkan sebagai pemenang liga SVNS lelaki buat kali pertama dalam edisi ke-25 kejohanan itu.


Argentina bangkit daripada ketinggalan 0-10 untuk menewaskan Afrika Selatan 14-10 dalam aksi ‘playoff’ tempat kelima, memperoleh mata penting untuk menduduki tempat teratas tangga liga.

Mereka mengumpul 106 mata daripada tujuh kejohanan, dua mata di depan Ireland, yang tewas 17-14 kepada New Zealand pada perlawanan akhir.

HSBC SVNS ialah siri tahunan kejohanan ragbi tujuh antarabangsa yang dikendalikan oleh Ragbi Dunia, dan Argentina menjadi pasukan teras sejak penampilan sulung mereka dalam acara itu pada musim 1999-2000.

Tempat kedua pada musim 2022-23 adalah yang paling hampir mereka peroleh untuk memenangi gelaran keseluruhan.

Argentina dianggap pasukan lelaki yang menyerlah musim ini, memenangi tiga kejohanan di Cape Town, Perth dan Vancouver, tetapi prestasi mereka menurun ketika berkunjung ke Singapura. 

Apabila wisel penamat bagi perlawanan ditiup, pemain Argentina meraikan kemenangan mereka dengan berlutut dan terbaring di atas padang, manakala ada yang berpelukan dengan penuh kegembiraan. 

Revol, yang bakal menggantung butnya daripada kejohanan ragbi tujuh sepasukan selepas Sukan Olimpik 2024, tidak terkecuali begitu beremosi.

Menahan air mata beberapa kali ketika bercakap kepada media selepas kejuaraan Argentina, Revol, berkata: “Kami mengambil masa begitu lama untuk sampai ke tahap ini.

“Terdapat begitu banyak detik, baik dan buruk... Kami terus mencuba, terus berlatih, terus percaya dengan pasukan ini dan saya rasa kami mempunyai hadiah yang sepatutnya kami terima.”

“Sungguh luar biasa berada di sini pada detik ini... Saya berusia 37 tahun dan saya masih berada di sini bersama pasukan ini, pemain-pemain hebat ini. Merekalah yang membuat perubahan besar di atas padang.”

Ia juga musim yang menakjubkan buat Revol.

Beliau mencipta sejarah pada Disember 2023 dengan menjadi pemain pertama yang bermain dalam 100 kejohanan Siri Tujuh Sepasukan Dunia semasa SVNS Cape Town.

Revol membuat penampilan sulungnya dalam siri kejohahan pada 2009. Di SVNS Hong Kong pada April, beliau mencapai mata jaringannya yang ke-1,000 dalam siri kejohanan. 

Menjelang grand final SVNS di Madrid, Sepanyol, pada 31 Mei hingga 2 Jun, dan Sukan Olimpik di Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos, Revol menggesa rakan sepasukannya agar bangkit semula dan menunjukkan taring mereka.

“Kami akan menikmati dahulu kemenangan ini. Minggu depan, kami akan kembali memberi tumpuan pada kejohanan seterusnya… Cuba kurangkan kesilapan yang kami lakukan, bangkit semula daripada prestasi ini dan mempersiap diri sebaiknya untuk Madrid dan Paris,” tambah Revol.

New Zealand pula digelar juara wanita liga SVNS. Pasukan Black Ferns mengalahkan Australia 31-21 dalam final di Singapura.

Sebelum ke Kota Singa, New Zealand dan Australia terikat dengan 106 mata di puncak tangga liga.

New Zealand juga ialah juara pertama SVNS Singapura bagi liga wanita, yang musim ini menampilkan kededua pertandingan wanita dan lelaki.

Sebelum ini, hanya pertandingan lelaki diadakan. New Zealand sudah menjadi juara keseluruhan SVNS sebanyak rekod lapan kali.

Lapan pasukan teratas dalam liga lelaki dan wanita seterusnya akan ke Madrid, Sepanyol, untuk bersaing dalam kejohanan grand final SVNS dari 31 Mei hingga 2 Jun.

Pertandingan lelaki terdiri daripada Argentina, Ireland, New Zealand, Australia, Fiji, Perancis, Afrika Selatan dan Britain.

Sementara itu, New Zealand, Australia, Perancis, Amerika Syarikat, Canada, Fiji, Ireland dan Britain akan bersaing dalam pertandingan wanita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >