Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah akan perkenal garis panduan aturan kerja fleksibel pada 2024

Oct 04, 2023 | 06:44 PM



Pemerintah akan memperkenalkan Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) pada 2024, yang akan menetapkan norma dan panduan bagi pekerja untuk membuat permintaan FWA dan menggunakannya secara bertanggungjawab.

Bercakap di Parlimen pada Selasa, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, berkata matlamatnya bukan untuk menjamin kerja yang fleksibel buat setiap pekerja, sebaliknya, untuk mewujudkan proses bagi majikan dan pekerja untuk mendapat keseimbangan.

“Kumpulan Kerja Tiga Pihak akan mengkaji amalan antarabangsa dan berunding secara meluas dengan majikan, pengamal sumber manusia (HR) dan pekerja dalam beberapa bulan akan datang sambil kita merumuskan garis panduan.

“Kumpulan Kerja juga akan membangunkan cadangan tentang cara melengkapkan majikan, HR, pengurus barisan dan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan FWA dengan cara yang berkesan dan mampan.

“Kami percaya ini adalah pendekatan yang betul untuk diambil, yang akan membantu lebih ramai pekerja mengakses FWA yang mereka perlukan tanpa membawa akibat yang tidak diingini,” kata Cik Gan yang menjawab usul penangguhan yang difailkan Encik Louis Chua (GRC Sengkang) yang meminta pemerintah menggubal dasar memberi hak dasar FWA untuk semua pekerja.

Encik Chua telah memetik beberapa kajian dan tinjauan yang menunjukkan keinginan pekerja yang lebih besar untuk FWA pascapandemik yang akan membolehkan mereka menguruskan kehidupan profesional dan peribadi dengan lebih baik.

Menjawab soalannya, Cik Gan berkata, walaupun FWA, jika dilaksanakan dengan baik, boleh membantu syarikat mengekalkan dan menarik pekerja di tengah-tengah pasaran pekerja yang ketat, menjadikan FWA sebagai sesuatu yang ketat boleh memudaratkan perniagaan, malah pekerja itu sendiri.

“Kami menggalakkan majikan melihat bagaimana FWA boleh memanfaatkan perniagaan mereka sebagai kelebihan daya saing, memudahkan komunikasi antara majikan dan pekerja supaya pengaturan yang saling menguntungkan dapat ditemui, dan yang paling penting, mengekalkan kepercayaan di tempat kerja,” kata Cik Gan.

Walaupun usaha sedang dijalankan untuk membuat FWA lebih mudah diakses, Cik Gan berkata tidak semua bentuk FWA boleh dilaksanakan untuk setiap pekerjaan.

Dalam hal ini, untuk memastikan FWA kekal mampan, beliau berkata pemerintah juga perlu mempertimbangkan kesan ke atas produktiviti individu dan produktiviti pasukan.

“Lebih banyak kajian antarabangsa mengenai kesan perniagaan FWA telah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mereka mendapati bahawa kesan FWA terhadap produktiviti berbeza merentas sektor dan peranan pekerjaan.

“Kuncinya adalah untuk memastikan kita mengenal pasti bentuk FWA yang sesuai untuk keperluan kerja yang berbeza, dan memastikan komunikasi antara pengurusan dan pekerja, dan (komunikasi) dalam pasukan, kekal kukuh. Tidak ada satu huraian yang sesuai untuk semua (pekerjaan),” kata Cik Gan.

Beliau berkata, Singapura perlu mempunyai pendekatan yang praktikal, yang boleh membantu mengharungi halangan di setiap tempat pekerjaan jika masyarakat ingin membantu pekerja mendapat akses kepada lebih banyak FWA.

“Pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan Rakan Kongsi Tiga Pihak dan pihak berkepentingan lain untuk menjadikan FWA sebagai huraian yang menang-menang untuk semua,” tambahnya.

Laporan Parlimen di Muka 5 & 6




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >