Peralihan kepimpinan negara adalah detik paling penting bagi mana-mana negara, apatah lagi bagi negara kecil Singapura yang sentiasa berusaha menjaga penakatannya dalam dunia yang tidak menentu. Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong akan menyerahkan baton kepimpinan kepada Encik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei 2024.
Kita bersyukur peralihan kepimpinan daripada generasi ketiga kepada pasukan generasi keempat (4G) berjalan dengan licin dan teratur. Kelicinan peralihan dengan sokongan sebulat suara, tanpa sebarang kegenjotan, akan membolehkan teraju kepimpinan dapat terus menumpukan tugas memakmurkan negara.