Semakin ligat kaki Encik Ismail Abu Bakar melangkah di rantauan, semakin banyak negara mengambil langkah menutup sempadan bagi mengekang penularan penyakit Covid-19.
Malah, hampir semua negara yang dilawati, pihak berkuasa imigresen memeriksa pasportnya dan banyak soal mengenai kewarganegaraannya.
Ini bagi memastikan beliau bukan warga China atau telah singgah di Tanah Besar China.
“Saya katakan kepada mereka saya warga Singapura dan tidak pernah singgah di China dalam rangka mengelilingi dunia.
“Ada pegawai yang kata Singapura bagus kerana dapat mengawal penyebaran Covid-19 dengan baik,” cerita Encik Ismail.
Menurutnya, beliau dicerut kebimbangan sepanjang kembaranya kerana sesetengah negara telah mula menutup sempadan dan memperkenalkan langkah lebih ketat termasuk kawalan pergerakan dan kuarantin.
Ketika di Pakistan, beliau berhasrat untuk menyeberang ke China tetapi mendapati negara itu telah menutup sempadannya kerana Covid-19 telah menjadi wabak di negara itu.
Di negara yang terkenal dengan Tembok Besarnya itulah Covid-19 mula dikesan di wilayah Wuhan pada Disember 2020 dan kemudiannya menular ke serata dunia.
“Hari-hari saya berdoa agar saya tidak ditahan atau dikenakan kuarantin dan tidak jatuh sakit.
“Bayangkan kalau saya terperangkap jika negara yang saya singgah tiba-tiba tutup pintu sempadan,” kata pesara polis itu sambil mengusap dadanya sebagai tanda lega dan syukur.
Menurut beliau, dalam tempoh kembaranya itu, penyakit Covid-19 tertumpu di Wuhan dan belum mengancam dunia.
“Saya tak nampak penduduk pakai pelitup di semua negara yang saya singgah. Mereka seolah-olah ambil sikap acuh tak acuh terhadap bahaya Covid-19 yang terbukti boleh membawa maut.
“Di negara-negara Asia Tengah seperti Azerbaijan, Uzbekistan, Georgia dan Tajikistan macam tak ada apa-apa.
“Begitu juga di Pakistan, Mesir, Chile, Argentina dan Jordan. Di Amerika Syarikat yang ramai telah terkorban juga macam biasa.
“Ketika berada di negara-negara berkenaan pada Mac lalu, wabak Covid-19 semakin serius. Saya tak berani pakai pelitup takut orang ingat saya sakit dan saya sendiri rasa canggung,’‘ singkap Encik Ismail.
Akibat penutupan sempadan itulah, beliau tidak dapat mengunjungi negara-negara di Eropah, Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah dan menziarahi Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis, Palestin.
“Hampa juga tak dapat pergi ke tempat-tempat tersebut tetapi kita merancang Allah jua yang menentukan.
“Alhamdulillah saya dihindari daripada jangkitan Covid-19, “ tambah beliau yang selamat pulang tanpa sebarang tanda-tanda gejala Covid-19 pada 17 Mac 2020 – sekitar lebih tiga minggu sebelum Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan (CB) pada 7 April 2020.