Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Isu kurang pengendali gerai dorong sekolah cari sumber alternatif

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Isu kurang pengendali gerai dorong sekolah cari sumber alternatif

Program Sajian Sekolah Sats kurangkan separuh masa beratur untuk dapatkan makanan
dengan ada mesin pengagihan khas
May 07, 2024 | 05:59 PM



Para pelajar di beberapa sekolah di Singapura kini perlu menempah dahulu sajian makanan secara dalam talian dan kemudian mengambilnya dari mesin pengagihan khas atau daripada kakitangan kantin.

Rutin itu berbeza berbanding dengan pelajar sesetengah sekolah yang biasanya perlu beratur untuk membeli makanan dan minuman daripada penjual di gerai kantin khususnya semasa waktu rehat.

Ekoran cabaran dalam mendapatkan pengendali gerai makanan tetap bagi pelajarnya, Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Sekolah Rendah Blangah Rise contohnya, mencari pilihan lain bagi memenuhi keperluan makanan pelajar.

Di kedua-dua sekolah tersebut, pelajar menikmati pelbagai pilihan hidangan panas tempatan dan antarabangsa, yang disediakan pakar pemakanan dan cef bertauliah daripada syarikat penyedia makanan dan logistik penerbangan, Sats, di bawah satu daya usaha yang dinamakan, Program Sajian Sekolah Sats.

Jurucakap syarikat itu memberitahu Berita Harian (BH) ibu bapa dan pelajar boleh membuat tempahan bagi pilihan makanan mereka dua hari lebih awal dan membayarnya menerusi kaedah pembayaran digital.


Sejajar dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (MOE), harga makanan ditetapkan antara $2.10 dengan $3.00 dengan hidangan lebih besar berharga sehingga $4.50.

Pada waktu rehat, pelajar akan mendapatkan makanan mereka dengan mengimbas kad makanan masing-masing menerusi mesin pengagihan automatik yang disediakan di sekolah.

“Makanan itu dibungkus dan dihantar ke sekolah dalam kotak tebat khusus untuk gred makanan dan disimpan di dalam pemanas makanan mengikut suhu yang sesuai bagi pelajar mengambilnya dan menjamu selera,” kata jurucakap itu lagi.

Menurut jurucakap Sats, dengan kaedah tersebut, waktu beratur dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding waktu beratur di gerai biasa.

Kemudahan pengagihan makanan sebegitu mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak sejak sekolah berkenaan berpindah dari kampusnya di Bukit Batok ke Punggol pada 2022.

Di Sekolah Rendah Blangah Rise di Telok Blangah pula, seorang jurucakap memberitahu sistem tersebut diterapkan sejak 2021, selepas pihak sekolah menghadapi cabaran dalam mendapatkan pengendali gerai di kantinnya.







Ketika waktu rehat, kakitangan Sats akan menyediakan sajian seperti sate ayam disajikan bersama nasi goreng, roti bakar Perancis bersama jagung mentega serta mi bebola ikan.

Setiap sajian berharga antara $2.35 dengan $3, disediakan selaras mengikut garis panduan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bagi pemakanan sihat.

Sekolah tersebut telah mendapatkan khidmat Sats bagi menyediakan makanan kepada kesemua murid dan kakitangan untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada makanan yang memenuhi keperluan diet dan zat secara konsisten, tambah jurucakap itu.

“Setiap penggal kami bekerjasama dengan Sats untuk menyediakan menu meliputi hidangan Barat dan Asia untuk memastikan terdapat pelbagai pilihan makanan,” ujarnya.

Selain itu, terdapat mesin yang menjual snek dan minuman di kantin.

Jurucakap itu berkata maklum balas daripada ibu bapa dan murid “amat positif” dan pihak Sekolah Rendah Blangah Rise berhasrat mengekalkan model penyediaan makanan itu bagi jangka masa panjang.







Sebelum ini, Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia, telah mengutarakan pertanyaan di Parlimen pada November 2023, sama ada MOE sedang menimbangkan model alternatif untuk menyediakan pilihan makanan berkhasiat dan berpatutan kepada pelajar di sekolah.

Pertanyaan itu menyusuli maklum balas daripada penduduk dan pihak sekolah di kawasan Zhenghua bahawa terdapat pilihan makanan yang agak terhad di beberapa sekolah tertentu ekoran cabaran mendapatkan vendor untuk mengendali gerai di sekolah.

Dalam laporan The Straits Times (ST), Encik Chia berkata: “Sebenarnya agak sukar bagi vendor kantin untuk mengendalikan gerai ekoran kos bahan makanan yang semakin meningkat dan menjejas pendapatan mereka.”


“Pada masa yang sama, mereka semua mahu menawarkan makanan yang berpatutan bagi pelajar kami di sekolah.”

Sats dalam kenyataannya berkata beberapa sekolah di estet baru seperti Punggol dan Jurong West sedang berbincang dengan syarikat tersebut untuk menyertai perkhidmatan tempahan sedemikian pada 2025.

Mengulas tentang isu itu, MOE memberitahu ST, kebanyakan sekolah setakat ini mempunyai bilangan gerai yang “mencukupi” untuk memenuhi keperluan pelajar.

Namun dari masa ke semasa, beberapa sekolah menghadapi cabaran mendapatkan pengendali gerai, misalnya apabila pengendali gerai itu bersara.

Ia menambah, beberapa sekolah sudah menerapkan model perkhidmatan tempahan makanan dan MOE akan terus menyokong pihak sekolah dalam menawarkan sajian berkhasiat dan berpatutan kepada pelajar, termasuk menerusi model perkhidmatan alternatif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >